Oleh Cikgu Hambal, www.TutorKami.com
5 tips menghadapi 7 hari terakhir sebelum SPM
Dengan lagi seminggu tibanya peperiksaan SPM, sudah tiba masanya untuk anda mengubah strategi pembelajaran demi memaksimakan penggunaan masa yang semakin suntuk.
Saya akan berkongsi beberapa tips yang anda boleh amalkan dalam persediaan SPM bukan sahaja dalam masa seminggu ini malah boleh diamalkan sepanjang jadual peperiksaan SPM.
1) ‘Divide and Conquer’ topik pembelajaran.
Pecahkan topik-topik kepada dua bahagian. Senaraikan topik-topik yang anda tahu dan faham. Kemudian kumpulkan topik-topik yang anda kurang pasti.
Anda semak sekali lalu kesemua topik-topik yang anda faham. Setelah selesai, anda boleh tumpukan lebih masa dan perhatian mengulangkaji topik-topik yang anda kurang faham.
Bagi pelajar-pelajar yang berpeluang untuk belajar dengan guru tuisyen di rumah, sekaranglah masa yang sesuai untuk anda berbincang dengan mereka tentang topik-topik yang anda kurang faham ini.
2) Rehat sebentar selepas setiap sesi belajar.
Mengulangkaji pelajaran dalam sesi belajar yang lama adalah tidak digalakkan. Minda menjadi penat secara cepat dan tumpuan akan merosot dengan mendadak apabila sampai ke akhir sesi.
Dengan membahagikan sesi belajar dengan beberapa sesi rehat yang singkat, minda anda akan sentiasa fokus dan tumpuan menjadi lebih segar.
Saya sendiri sebagai seorang tutor SPM di Tutorkami.com mendapati pelajar saya akan memberikan reaksi yang lebih positif apabila saya meletakkan masa rehat di antara sesi pengajaran saya.
10 minit rehat bagi setiap jam adalah memadai untuk membuahkan hasil yang jauh lebih baik.
3) Melarikan diri daripada semua jenis gangguan.
Anda kena bertekad untuk menolak segala gangguan sepanjang seminggu ini (dan diteruskan sepanjang jadual peperiksaan SPM). Anda perlu mengasingkan diri dari telefon pintar, internet, siaran TV dan media sosial.
Masyarakat sedia maklum tentang keburukan gangguan-gangguan ini seperti terleka, hilang fokus dan lain-lain. Jadi, ambillah langkah yang positif untuk mengurangkan gangguan-gangguan seperti ini.
4) Jaga kesihatan anda.
Minda yang cerdas bermula dengan badan yang cergas. Kebanyakan pakar bersetuju bahawa aktiviti meregangkan otot dapat meningkatkan prestasi minda.
Anda boleh mengeluarkan peluh dengan jogging sekitar taman perumahan anda. Ataupun mengamalkan sedikit latihan asas sambil mendengar muzik kegemaran anda bagi meregangkan otot dan melepaskan tekanan belajar.
Latihan kecergasan dalam 10 ke 20 minit adalah memadai untuk meningkatkan memori dan tahap tenaga anda. Dan jangan lupa untuk makan mengikut rutin harian kebiasaan anda dan meminum air lapan gelas sehari!
5) Persediaan malam sebelum peperiksaan.
Periksa perkakasan alat tulis dan dokumen-dokumen yang diperlukan esoknya. Semak nota subjek dan cuba jawab contoh kertas peperiksaan tahun-tahun lepas.
Pastikan anda mendapat tidur yang cukup. Bersengkang mata menghadap buku sepanjang malam adalah tidak digalakkan.
Terdapat laporan bahawa ada segelintir calon-calon yang tidak tidur malam sebelumnya telah gagal menjawab peperiksaan kerana tertidur, panik atau pun minda tersekat. Lagi pun, tenaga dan tumpuan 100% anda diperlukan pada esoknya bukan pada malam itu.
Saya percaya dengan 5 tips di atas, anda boleh merasai perubahan positif di dalam persediaan anda. Tahap konfiden anda akan meningkat, pembelajaran anda menjadi lebih berkesan serta pengurusan masa anda menjadi lebih efisien.
Di kesempatan ini, saya serta warga kerja dari TutorKami.com ingin mengucapkan Selamat Belajar dan Selamat menduduki peperiksaan SPM 2016. Semoga mendapat A+ di dalam semua kertas peperiksaan SPM yang anda duduki pada tahun ini. Amin!