Panduan Lengkap Hantar Anak ke Sekolah Cina SJKC

Posted on Posted in Uncategorized

Dalam era lambakan graduan yang kini menganggur akibat tingginya saingan untuk pekerjaan, kini ramai ibu bapa yang sedar dan menggalakkan anak untuk menguasai bahasa mandarin. Penguasaan bahasa ke-3 jelas bakal membantu anak anda untuk mempunyai kelebihan kelak di masa akan datang. Dan cara yang paling terbaik untuk itu adalah dengan menghantar mereka untuk ke sekolah cina SJKC.

Namun, memasukkan anak ke sekolah cina SJKC bukan lah semudah hantar dan ambil anak pulang sekolah. Lebih-lebih lagi, anda sendiri pun tidak boleh bertutur dalam bahasa mandarin.

Perhatian dan persiapan lebih harus diberikan kepada anak anda.

Oleh itu, hari ini kami kongsikan dengan anda Panduan Lengkap Hantar Anak ke Sekolah Cina SJKC yang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu Persediaan, Cabaran dan Tips.

 

Bahagian 1 : Persediaan ke Sekolah Cina SJKC

Sepertimana apa jua perkara yang kita lakukan, kita harus melakukan persediaan yang secukupnya.

1.Pendaftaran Awal

Setiap sekolah cina mempunyai kuotanya yang agak terhad untuk pelajar bukan berbangsa cina. Kemasukan pelajar ke sekolah adalah atas dasar ‘first come first serve‘.  Maka adalah penting untuk ibu bapa mendaftarkan anak lebih awal. Ibu bapa mungkin boleh mula mengisi borang sewaktu usia anak menginjak usia 4 tahun.

2.Pra-Sekolah Cina

Masuk ke SJKC, anak anda perlu ada sedikit fahaman asas terhadap bahasa mandarin. Maka adalah penting untuk dia dimasukkan ke pra-sekolah/tadika cina bagi mempelajari asas bahasa Mandarin. Kalau kosong terus, kemungkinan besar permohonan anda untuk memasukkannya ke SJKC ditolak begitu sahaja.

3.Pemilihan Sekolah

Amalan yang paling baik bagi memudahkan transisi anak adalah untuk memasukkan anak ke tadika yang sama dengan sekolah yang bakal mereka masuk. Sebagai contoh, sekiranya anak bakal memasuki SJKC Chong Cheng, masukkan juga dia ke Tadika Chong Cheng.

Selain membantu anak dari sudut silibus pembelajaran, anak anda akan lebih mudah untuk bergaul dengan rakan sebaya dan mengelakkan daripada terasing.

 

Bahagian 2 : Cabaran di Sekolah Cina SJKC

1.Pendidikan Agama

Sebagai ibu bapa, anda harus sedar akan kepentingan pendidikan agama terhadap anak anda. Oleh itu, anda tidak boleh lepas tangan begitu sahaja. Didikan agama di rumah harus dilakukan secara berkala. Atau, anda boleh menghantar anak ke sekolah agama setelah tamat sesi persekolahan SJKC.

2.Masa

Anda mungkin harus meluangkan lebih masa dan perhatian untuk anak anda. Bukan sahaja didikan agama dari rumah, malah anda perlu memastikan anak anda boleh mengikuti silibus yang diajarkan oleh gurunya disekolah. Hal ini bagi mengelakkan daripada anak anda hilang keyakinan diri apabila ke sekolah.

3.Makanan

Sesetengah kantin sekolah SJKC dikendalikan oleh melayu. Maka tiada isu makanan untuk anak anda. Namun sekiranya anda ingin lebih yakin, sediakan bekal untuk anak anda ke sekolah. Dan berikan peringatan kepada anak anda untuk tidak menerima makanan daripada rakan sekelas.

4.Emosi

Sokongan emosi adalah amat penting kepada anak. Mempelajari bahasa ke-3 yang tidak dituturkan di rumah adalah sukar, maka tugas anda selaku ibu bapa untuk memberikan sokongan moral kepadanya.

Ketahuilah bahawa guru-guru disekolah cina adalah lebih garang daripada biasa. Maka anda tidak mahu anak anda terganggu emosinya dek kesilapan anda tersilap susun jadual atau tertinggal buku di rumah. Hukuman yang dikenakan kepada anak anda bakal mengganggu konsentrasi mereka di sekolah.

 

Bahagian 3 : Tips Hantar Anak ke Sekolah Cina SJKC

1.Kenali Cikgu

Ikuti perkembangan pembelajaran anak anda melalui cikgunya. Cikgu adalah individu yang anda perlu kenal dan sentiasa berhubung bagi mengetahui status dan perkembangan anak anda di sekolah. Cikgu akan mampu memberikan nasihat dan bimbingan yang sewajarnya untuk membantu anak anda dalam pembelajarannya.

2.Kumpulan Sokongan

Kumpulan sokongan atau ‘support group‘ adalah penting. Anda mungkin boleh kumpul semua ibu bapa yang bukan cina seperti anda, untuk tubuhkan satu ‘group komunikasi’ bagi membantu satu sama lain.

Hal ini bagi memudahkan anda untuk berkongsi masalah, penyelesaian dan kaedah pembelajaran yang mungkin boleh dipraktikkan bersama.

3.Jangan Mudah Sensitif

Guru sekolah cina adalah lebih garang dan tegas. Hukuman mereka juga mungkin dianggap berat oleh sesetengah ibu bapa. Oleh itu, anda harus sedar akan perkara ini dan urus jangkaan (expectation) anda sebaiknya. Lebih-lebih lagi, anda yang memilih untuk memasukkan anak anda ke sekolah ini dan bukan mereka (guru) ini yang paksa.

Namun sekiranya anda jenis yang tidak boleh melihat anak anda dimarah, mungkin SJKC bukan tempat untuk anak anda.

4.Kerja Sekolah

Lambakan kerja sekolah juga adalah perkara yang normal untuk pelajar SJKC. Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab anda untuk membantu dan membimbing mereka untuk menyiapkan kerja sekolah mereka.

5.Tuisyen Tambahan

Dapatkan bantuan tutor untuk membimbing anak anda dalam pembelajarannya. Bimbingan tutor ini tidak terhad kepada bahasa Mandarin semata, sebagai contoh, matematik di SJKC adalah lebih susah berbanding di sekolah kebangsaan. Maka anda harus kenalpasti subjek yang dianggap sukar untuk anak anda dan dapatkan cikgu tuisyen atau personal tutor untuknya.

 


Berminat untuk dapatkan home tutor untuk anak anda? Hubungi kami sekarang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *